StudyMalaysia.com

Contact Us Contact Us
Scholarships

JPA - Program Pelajar Cemerlang 9A+ Tahun 2019

Sponsored by: Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA)
Deadline30 Jun 2019
Organisation TypeGovernment Agencies
Fund TypeScholarship
Study Local or Abroad?Local

Program Penajaan 9A+ (P9A+) tahun 2019 merupakan penajaan kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2018 yang memperoleh keputusan A+ dalam sekurang-kurangnya sembilan (9) mata pelajaran tanpa mengambil kira gred mata pelajaran selebihnya (sekiranya ada) untuk melanjutkan pengajian ke universiti-universiti di dalam negara.

Calon-calon akan ditawarkan penajaan secara Pinjaman Boleh Ubah (PBU) untuk mengikuti pengajian peringkat Persediaan sehingga ke Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan pengiktirafan bidang.

 

Peringkat Pengajian

KURSUS PERSEDIAAN IJAZAH PERTAMA
Pelajar-pelajar akan mengikuti kursus persediaan di kolej persediaan dalam negara yang telah ditetapkan oleh Kerajaan seperti di LAMPIRAN A. Pelajar-pelajar akan ditaja untuk mengikuti pengajian peringkat Ijazah Pertama di institusi pengajian tinggi dalam negara sahaja. Senarai universiti adalah seperti di LAMPIRAN B.
Sekiranya pelajar tidak menamatkan kursus persediaan atau menamatkan kursus Persediaan tetapi gagal melepasi had kecemerlangan (Cut-Off Point) yang ditetapkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama, penajaan pelajar boleh ditamatkan.

 

Syarat Penajaan

Syarat Umum Calon

  1. Warganegara Malaysia;
  2. Mempunyai kesihatan yang baik;
  3. Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember tahun peperiksaan SPM diduduki;
  4. Tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang JPA; dan
  5. Tidak menerima bantuan kewangan / tajaan dari mana-mana agensi untuk peringkat atau pengajian yang sama.

Syarat Khusus Calon

  1. Menduduki peperiksaan SPM tahun 2018 kali pertama di mana-mana sekolah menengah termasuk sekolah khas, sekolah swasta dan calon-calon persendirian;
  2. Memperoleh keputusan A+ dalam sekurang-kurangnya sembilan (9) mata pelajaran tanpa mengambil kira gred mata pelajaran selebihnya (sekiranya ada); dan
  3. Memulakan pengajian peringkat persediaan sebelum atau pada 31 Disember tahun penawaran biasa.

Sekiranya pelajar ditawarkan lebih daripada satu (1) program penajaan oleh JPA, pelajar hanya layak untuk memilih satu (1) program penajaan sahaja dan tawaran-tawaran lain oleh JPA secara automatik adalah terbatal.

 

Mekanisme Perjanjian Pinjaman

Calon-calon yang berjaya ditawarkan penajaan di bawah program ini dan bersetuju untuk ditaja oleh JPA adalah tertakluk kepada terma ikatan perjanjian JPA seperti berikut:

  1. Pinjaman akan ditukar kepada biasiswa dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam; atau
  2. Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC); atau
  3. Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara; atau
  4. Selain daripada keadaan seperti di atas, pelajar dikehendaki membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.

 

Cara Memohon Program Penajaan 9A+

  1. Pelajar yang berminat perlu mengisi eprofiling secara atas talian (online) di http://esilav2.jpa.gov.my yang dibuka khusus kepada calon terlibat sahaja.
  2. Pelajar perlu memohon sendiri dan mendapatkan surat tawaran daripada institusi pengajian (peringkat persediaan) sebelum melengkapkan eprofiling sebelum atau pada 30 Jun 2019;
  3. Setelah melengkapkan permohonan, pelajar perlu menghantar salinan dokumen (softcopy) ke alamat emel iaitu [email protected]. Surat tawaran penajaan JPA akan dikeluarkan selepas salinan dokumen tersebut diterima lengkap.
  4. Senarai dokumen yang perlu dihantar adalah seperti berikut:
    1. Slip Pengesahan Permohonan;
    2. Salinan Kad Pengenalan Pemohon; dan
    3. Surat Tawaran Institusi Pengajian.
  5. Calon dibenarkan mendaftar, mengemas kini/ meminda maklumat permohonan sebelum tarikh tutup permohonan. Hanya pindaan yang terkini sahaja diambil kira untuk tujuan penyimpanan data.

Pertanyaan mengenai program tajaan dan masalah teknikal boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8885 3045 / 3555 / 3066 / 3070 / 3076 pada setiap hari bekerja mulai jam 8.30 pagi hingga jam 5.00 petang.

 

Tarikh Tutup Permohonan

Tarikh tutup permohonan ialah pada 30 Jun 2019. Permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan.

 

Keterangan Lanjut

[Sila klik di sini untuk membaca syarat permohonan]
[Sila klik di sini untuk membaca FAQ]

 


Source: http://esilav2.jpa.gov.my/

Back to Scholarships Page

Download FREE myCourseGuide
马来西亚的高等教育机会