Deadline | 24 Julai 2018 (selasa) jam 5.00 petang |
---|---|
Organisation Type | Government Agencies |
Fund Type | Scholarship |
Study Local or Abroad? | Local |
Permohonan adalah dipelawa kepada pelajar cemerlang lepasan ijazah pertama / sarjana tajaan JPA untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan kedoktoran dalam pelbagai bidang di universiti yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU).
Syarat–Syarat Permohonan
Calon-calon yang berminat mestilah memenuhi syarat-syarat umum dan khusus permohonan seperti berikut:
Syarat-Syarat Umum
- Warganegara Malaysia berumur tidak lebih 26 tahun bagi pengajian peringkat Sarjana dan 30 tahun bagi pengajian peringkat Kedoktoran (Ph.D) pada tahun permohonan;
- Pelajar merupakan pelajar tajaan JPA semasa peringkat Ijazah Pertama / Sarjana bagi memohon ke peringkat pengajian yang lebih tinggi;
- Pelajar mestilah telah menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan dan tidak pernah membuat sebarang pelanjutan bagi pengajian semasa di peringkat Ijazah Pertama / Sarjana;
- Pelajar yang layak memohon adalah pelajar yang telah menamatkan pengajian peringkat Ijazah Pertama atau Sarjana pada tahun 2017 hingga tarikh tutup permohonan penajaan ini di mana ianya bertujuan memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan tempat pengajian pada peringkat Sarjana atau Kedoktoran (Ph.D);
- Pelajar telah mendapat tawaran bersyarat / tanpa syarat daripada universiti dan mengikuti pengajian secara sepenuh masa. Senarai universiti adalah seperti di Lampiran A;
- Program Ijazah Sarjana yang dipohon bukanlah program yang dinilai taraf setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda bagi tujuan pelantikan ke dalam Perkhidmatan Awam. Sebagai contoh, Kerajaan telah menetapkan bahawa kelayakan Master of Engineering (M.Eng) dari universiti-universiti di United Kingdom hanya layak digunakan untuk tujuan pelantikan ke jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan atau RIBA Part II bagi pengajian senibina yang mana ia hanya diiktiraf setaraf Ijazah Sarjana Muda Senibina sahaja;
- Pelajar perlu memulakan pengajian sebelum atau pada 31 Disember 2018;
- Mempunyai baki tempoh pengajian sebanyak 12 bulan bagi pengajian peringkat Sarjana dan 24 bulan bagi pengajian peringkat Kedoktoran.
Syarat Khusus
Kelayakan minima akademik adalah seperti berikut:
Ijazah Sarjana / Fast Track Ph.D
- Memperoleh Purata Nilaian Gred Kumulatif (PNGK) minimum 3.50 (dan setara) pada pengajian peringkat Ijazah Pertama dalam Negara atau luar Negara; atau
- Bagi negara United Kingdom, Australia, New Zealand dan Jepun, kelayakan akademik minimum adalah seperti berikut:
UNITED KINGDOM AUSTRALIA / NEW ZEALAND JEPUN 70% & ke atas 85% 85% A+B (50%A)*
*85% A+B – Jumlah gred A dan B yang diperolehi adalah sekurang-kurangnya 85% dan 50% daripada jumlah tersebut perlu mendapat gred A.
Ijazah Kedoktoran (Ph.D)
- Lulus bagi mod pengajian secara penyelidikan peringkat Ijazah Sarjana dalam Negara atau luar Negara; atau
- Memperoleh Purata Nilaian Gred Kumulatif (PNGK) minimum 3.50 atau setara bagi mod pengajian kerja kursus atau mix-mode; atau
- Bagi negara United Kingdom, Australia, New Zealand dan Jepun yang tidak menggunakan penilaian PNGK bagi mod pengajian kerja kursus atau mix-mode atau secara penyelidikan, kelayakan akademik minimum di peringkat Ijazah Sarjana adalah seperti berikut:
UNITED KINGDOM AUSTRALIA / NEW ZEALAND JEPUN 70% & ke atas 85% 85% A+B (50%A)*
*85% A+B – Jumlah gred A dan B yang diperolehi adalah sekurang-kurangnya 85% dan 50% daripada jumlah tersebut perlu mendapat gred A.
Bidang Pengajian Yang Tidak Ditaja
Bidang pengajian yang tidak ditaja adalah perubatan, pergigian, farmasi, pendidikan, kejururawatan, kursus yang mewajibkan pelajar mengambil lesen penerbangan dan kursus profesional seperti ACCA, LINUX dan CLP.
Mekanisme Perjanjian Pinjaman
Calon-calon yang berjaya ditawarkan penajaan di bawah program ini dan bersetuju untuk ditaja oleh JPA adalah tertakluk kepada terma ikatan perjanjian JPA seperti berikut:
- Pinjaman akan ditukar kepada biasiswa dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam; atau
- Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC); atau
- Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara; atau
- Selain daripada keadaan seperti di atas, pelajar dikehendaki membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.
Kadar Elaun
Kadar elaun bagi program penajaan ini adalah seperti berikut:
Kadar Elaun Bagi Pengajian Peringkat Sarjana Dan Kedoktoran Dalam Negara | ||||
---|---|---|---|---|
Jenis Elaun | Bidang | |||
Sastera (RM) | Sains (RM) | Teknologi (RM) | ||
Elaun Sara Hidup ( 1 Semester) | *A | 4,830.00 | 4,830.00 | 4,830.00 |
**B | 4,105.50 | 4,105.50 | 4,105.50 | |
Elaun Buku ( 1 Semester) | 345.00 | 345.00 | 345.00 | |
Elaun Tesis (Sekali Sepanjang Pengajian) | 345.00 | 345.00 | 345.00 | |
Elaun Kertas Projek ( 1 Semester) | 86.50 | 86.50 | 86.50 | |
Elaun Alat Perkakas ( 1 Semester) | 57.50 | 115.00 | 172.50 |
Bagi kadar dalam negara, elaun yang ditetapkan adalah seperti di jadual di atas dan mengikut kadar tempat seperti berikut:
*Kadar A: Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Seberang Perai, Johor Bahru, Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, Klang, Kajang, Selayang, Sepang, Sabah & Sarawak
**Kadar B: Selain di atas.
Bagi kadar luar negara, kadar yang ditetapkan adalah mengikut negara pengajian yang diikuti.
Cara Memohon
Permohonan dibuka secara atas talian di Portal eSILA http://esilav2.jpa.gov.my selama tujuh (7) hari mulai 18 Julai 2018 (Rabu) jam 9.00 pagi hingga 24 Julai 2018 (selasa) jam 5.00 petang. Calon boleh merujuk maklumat program dan Frequently Ask Question (FAQ) yang dimuat naik di Portal eSILA bagi maklumat lanjut berhubung program yang ditawarkan. Calon dibenarkan mendaftar, mengemas kini/ meminda maklumat permohonan sebelum tarikh tutup permohonan.
Calon hendaklah memastikan proses permohonan telah sempurna dengan mencetak Slip Pengesahan Permohonan Penajaan Program Pelajar Cemerlang Tahun 2018 sebagai bukti permohonan lengkap telah dibuat.
Pertanyaan mengenai program tajaan dan masalah teknikal boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8885 3049 (3 talian) mulai 18 hingga 24 Julai 2018 (hari bekerja) mulai jam 9:00 pagi hingga 4:30 petang atau kemukakan maklum balas melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Keputusan Permohonan
Keputusan permohonan penajaan ini dijangka akan diumumkan melalui laman sesawang eSILA http://esilav2.jpa.gov.my pada 30 Ogos 2018 (Khamis) jam 5.00 petang. Jika terdapat sebarang perubahan pengumuman tarikh keputusan, ia akan dimaklumkan dalam lawan sesawang eSILA.
Sumber: http://esilav2.jpa.gov.my/